Gambar hiasan

SIDANG DUN : 107 OPERASI PENGUATKUASAAN LIBAT PERUNTUKAN RM1.217 JUTA

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Kerajaan Pahang telah melaksanakan sebanyak 107 operasi yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.217 juta untuk tujuan pemusnahan, penyitaan dan lain-lain usaha pemantauan yang digerakkan secara bersepadu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang begitu serius terhadap usaha-usaha penguatkuasaan bagi memberi tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri.

“Menerusi penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019, Kerajaan Negeri telah berjaya membanteras penerokaan tanah secara haram terutamanya dalam Ops Lestari di Cameron Highlands.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini

“Malah, dengan penubuhan Skuad Elit juga, usaha-usaha membanteras penerokaan haram ini juga dipergiatkan secara berterusan. Skuad Elit ini berperanan melakukan risikan awal serta serbuan ke kawasan yang didapati telah melakukan penerokaan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan ini agar kelestarian alam sekitar kita terus terpelihara. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram