Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Cik Leong Yu Man ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DUN : KERAJAAN NEGERI SASAR KEDATANGAN 13 JUTA PELANCONG TAHUN INI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MEI 2023 : Pahang menyasarkan kedatangan kira-kira 13 juta orang pelancong antarabangsa dan domestik seiring Kalendar Acara Pelancongan Pahang yang telah disusun sepanjang tahun ini sebagai tarikan.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Cik Leong Yu Man berkata, penganjuran lebih 25 acara di dalam kalendar bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelancong, merancakkan ekonomi kawasan sekitar, mempromosikan destinasi pelancongan dan meningkatkan hasil negeri melalui perbelanjaan pelancong.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk menaiktaraf, membaikpulih infrastruktur dan kemudahan pelancongan dalam negeri. Kita juga menyasarkan lebih banyak penganjuran acara sukan kerana usaha mengoptimumkan hubungan sinergi antara pelancongan dan sukan akan turut memaksimumkan faedah ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, usaha memperkasa sektor pelancongan di kalangan pemain industri turut dilakukan termasuk beberapa siri latihan yang akan dilaksanakan pada tahun ini antaranya Kursus Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi, Malim Gunung, Pemandu Bot Pelancong dan Certificate of Tourism Related Education (CTRE).

“Pahang mempunyai khazanah alam seperti kawasan tanah tinggi, pulau, pantai malah Pahang juga pintu masuk ke Pantai Timur sekaligus mempunyai kelebihan menerima pelancong di Pantai Barat untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan lari jauh dari kesibukan kota raya.

“Bagi perancangan di luar negara, Kerajaan Negeri dalam perancangan mengadakan lawatan suai kenal (Familiarization Trip) bagi pengusaha pelancongan dari Negara Singapura pada bulan Julai dan kumpulan PATA (Pacific Asia Travel Association) dari Negara Jerman yang dijangka antara bulan Julai atau September,” katanya.

Menyentuh berkenaan usaha Kerajaan Negeri memulihkan sektor pelancongan, penambahan jumlah penerbangan ke Kuantan juga dilakukan melalui Scoot iaitu sebuah syarikat penerbangan tambang rendah (anak syarikat Singapore Airlines) yang telah menyambung semula penerbangan dari Singapura ke Kuantan pada 26 Mac 2023.

“Selain itu, syarikat penerbangan Batik Air (dahulu dikenali sebagai Malindo Air) juga akan mengaktifkan semula penerbangan dari Subang ke Kuantan bermula pada 2 Jun 2023. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram