Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan peluang pekerjaan kepada anak-anak negeri Pahang terbuka luas termasuk dengan menubuhkan Majlis Pekerja Negeri Pahang.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Encik Sim Chon Siang berkata, majlis ini membuka peluang pekerjaan di sepuluh taman industri kepada rakyat negeri Pahang tidak kira golongan tua, muda, golongan istimewa, dan orang asal.
“Penubuhan majlis ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan pemulihan dan peningkatan sektor ekonomi di negeri Pahang sentiasa berjalan lancar,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menyentuh dengan program penguatkuasaan dalam meningkatkan kesedaran peniaga-peniaga dalam mematuhi perundangan perniagaan dan juga melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika.
“Antara program yang dirancang bagi tujuan tersebut adalah pemeriksaan khas barangan keperluan asas, Ops Menu yang premis menjual makanan seperti restoran mempamerkan tanda harga yang jelas, Ops Catut yang dijalankan sepanjang tahun bagi melindungi pengguna, Ops Pantau serta Ops Tiris yang membasmi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi oleh sindiket dan industri.
“Kerajaan Pahang juga menjalankan Seksyen Pendayaupayaan Pengguna yang berfungsi menjalankan program pendidikan, pengetahuan dan perlindungan pengguna serta menggalakkan dan membantu gerakan kepenggunaan dalam meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam hak-hak pengguna,” katanya.
Beliau turut menyebut berkenaan kes pemerdagangan manusia dan dengan izin ‘job scam’ dan ‘love scam’ yang berlaku serta menasihatkan anak-anak muda agar tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara terutamanya di Singapura dan Dubai yang menawarkan gaji yang lumayan.
“Mangsa yang tertipu akan dibawa ke Singapura atau Dubai dahulu dan kemudian di pindahkan ke Bangkok atas alasan bekerja ataupun latihan pekerjaan. Jika mangsa gagal mencapai sasaran yang ditetapkan sindiket, mangsa akan dipukul, didera dan dicabul malah jika masih gagal mencapai sasaran diberikan, sindiket akan menjual organ mangsa.
“Sama seperti ‘Loves Scam’ di mana beliau mengingatkan anak-anak muda dan juga Ahli Dewan supaya tidak terpedaya dengan mesej-mesej cinta yang diterima melalui media sosial dari individu tidak dikenali,” katanya. – PAHANGMEDIA