Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kekangan peruntukan bagi membaiki jalan dari Kerajaan Persekutuan merupakan faktor terbesar yang menyebabkan masih banyak jalan-jalan Persekutuan tidak dapat diselenggara dengan sempurna.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan sentiasa dimohon setiap tahun namun angka kelulusan yang diberikan tidak seperti yang diperlukan.
“Realitinya tidak sebegitu.. ramai orang awam yang salahkan Kerajaan Negeri, kita memohon peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan selepas melakukan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya Negeri, tapi dari dulu lagi tak dapat peruntukan seperti yang kita perlu.
“Sudah tentu ada jalan yang tak dapat dibaiki dengan kadar segera. Saya telah bangkitkan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Besar mengenai masalah air dan jalan ini. Jalan Negeri bertambah baik kerana ada peruntukan khas diberikan tapi Jalan Persekutuan memang teruk sebab tak ada peruntukan tambahan seperti yang kita minta. Ini halangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Beserah, YB Tuan Haji Andasura Rabu berkenaan kerosakan kritikal jalan raya di sekitar negeri pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.-PAHANGMEDIA