Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Pelajar yang memohon biasiswa Yayasan Pahang tidak lagi perlu meminta tandatangan wakil rakyat di kawasan masing-masing pada borang permohonan berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah memansuhkan keperluan berkenaan bermula tahun ini.
“Pemohon-pemohon boleh memohon secara atas talian sekaligus memudahkan wakil rakyat dan para pelajar. Saya harap wakil rakyat semua sebar kepada anak-anak kita di kawasan masing-masing. Pengesahan hanya akan dibuat oleh pihak sekolah secara atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB Tuan Haji Rosli Abdul Jabar pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM1.4 bilion untuk tujuan pendidikan anak-anak Pahang sejak ia ditubuhkan pada tahun 1983 sehingga akhir tahun 2022.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tioman, Dato’ Sri Johari Hussain yang bertanya mengenai jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan bagi pendidikan anak-anak di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan tawaran pinjaman atau biasiswa kepada kakitangan kerajaan khususnya di negeri ini bagi melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD).
“Ada (tawaran pinjaman dan biasiswa), ada kes-kes tertentu kita akan bincang di peringkat Ahli Lembaga Pengarah dan akan mepertimbangkan, jika ada manfaat kepada Kerajaan Negeri dan penerima, biasanya kita akan luluskan,” katanya menjawab soalan tambahan dari ADUN Cheka, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya. -PAHANGMEDIA