Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Seramai 980 ibu tunggal kategori B40 menerima Bantuan Khas Usahawan Kecil Ibu Tunggal berjumlah RM1,000 seorang menerusi Program Anggun Niaga yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang dalam membantu golongan berkenaan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, daripada jumlah itu, seramai 280 penerima telah diberikan bantuan pada 2022 manakala 700 penerima pula tersenarai bagi tahun 2023.
Jelasnya, bantuan Anggun Niaga merupakan bantuan yang dikhususkan kepada ibu tunggal yang mempunyai perniagaan kecil-kecilan, berminat dan bersungguh-sungguh menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan.
“Permohonan adalah secara atas talian dengan mengimbas ‘QR Code’ atau mengisi link yang telah ditetapkan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang. Hanya calon-calon yang disenarai pendek akan dipanggil temuduga setelah mendapat senarai pemohon lulus temuduga, penyerahan akan dibuat di setiap parlimen dan jangkaan penyerahan adalah bermula Jun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Permohonan atas talian bagi Anggun Niaga telah pun ditutup pada Mac, baru-baru ini. – PAHANGMEDIA