Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Hospital Lipis merupakan hospital di bawah kategori Hospital Berpakar Minor yang menawarkan sebanyak 14 jenis kepakaran klinikal.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah perubatan am, pediatrik, psikologi, pembedahan am, otopedik, obstetrik dan ginekologi, otorinolaringologi, oftalmologi, patologi, radiologi, anestesia, kecemasan dan trauma, pembedahan mulut dan pergigian kanak-kanak.
“Pada masa sama, bagi menambahkan akses rakyat kepada perkhidmatan klinikal, pelbagai inisiatif telah dimulakan contohnya Hospital Kluster Pahang Barat, lawatan pakar perubatan secara berkala dan global surgery.
“Ia bertujuan menambahkan kapasiti hospital, dimaklumkan juga bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju untuk Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengunci masuk permohonan Projek Naik Taraf Dewan Bedah Ketiga Hospital Kuala Lipis dengan kos berjumlah RM5 juta ke dalam Sistem Myprojek pada 10 April 2023 dan pihak kementerian kini sedang menunggu kelulusan lanjut daripada pihak Kementerian Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, sementara menunggu Dewan Bedah yang baru dibangunkan di Hospital Kuala Lipis, pesakit-pesakit yang memerlukan pembedahan khususnya melibatkan pembedahan otopedik dan pembedahan am telah mula dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Cameron Highlands bermula Disember 2022. – PAHANGMEDIA