Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Pahang mencatatkan kutipan sebanyak RM183.65 juta cukai taksiran am pada tahun 2022 berbanding RM177.91 juta pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak RM5.74 juta atau 3.23 peratus.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, peratusan prestasi pencapaian bagi kutipan hasil keseluruhan PBT adalah sebanyak 85.25 peratus berbanding anggaran cukai yang telah ditetapkan.
“Jumlah kutipan tunggakan cukai bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM32.4 juta berbanding dengan RM22.36 juta pada 2021 dan peningkatan adalah sebanyak 45.08 peratus iaitu bagi kutipan tunggakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB. Encik Hassanuddin Salim pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Jelas beliau lagi, bagi prestasi kutipan cukai taksiran am tertinggi ialah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan RM66.4 juta dengan pencapaian 87.02 peratus berbanding anggaran ditetapkan iaitu RM76.3 juta.
“Diikuti Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan kutipan RM13.5 juta pencapaian 77.17 peratus berbanding anggaran ditetapkan iaitu RM18 juta seterusnya Majlis Perbandaran Bentong dengan kutipan RM57.8 juta pencapaian sebanyak 90.47 peratus berbanding anggaran ditetapkan iaitu RM63.9 juta,” katanya.
YB. Dato’ Sri Johari berkata, terdapat beberapa faktor menjejaskan prestasi kutipan cukai taksiran di PBT antaranya keadaan ekonomi tidak menentu, kesan bencana alam, kedudukan kewangan pembayar cukai dan pemilik-pemilik harta masih terkesan dengan pandemik COVID-19.
Justeru, beberapa inisiatif dilaksanakan oleh PBT antaranya mengadakan kutipan luar (kaunter bergerak), kaedah bayaran ansuran, kaedah bayaran atas talian / pandu lalu, menawarkan hadiah cenderahati bagi pembayar cukai terawal setiap tahun dan memberi surat penghargaan kepada syarikat-syarikat bagi pembayaran cukai terbesar. – PAHANGMEDIA