Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 MEI 2023 : Usaha menjaga kelestarian dan kesejahteraan Pahang harus didukung serta dilaksanakan bersama-sama demi kemakmuran serta kejahteraan rakyat di negeri ini.
Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Johari Haji Hussain berkata, Kerajaan Negeri berusaha gigih dalam memberikan pekhidmatan terbaik kepada rakyat yang akhirnya dapat memulangkan segala hasil negeri kepada rakyat menerusi perlaksanaan pelbagai projek.
“Saya masih ingat ketika rakyat berdepan isu perumahan yang menghantui golongan yang tidak mampu memiliki rumah kediaman selesa untuk keluarga di mana Rumah Rakyat Pahang terus dinikmati rakyat di negeri ini, di seluruh pelosok daerah telah dibina Rumah Rakyat Pahang bagi mereka yang layak dan terpilih bagi menerima dan memiliki rumah yang selesa, termasuklah kawasan-kawasan ekstrem seperti Hulu Tembeling, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang terus komited dan konsisten untuk menambah bilangan RRP dari semasa ke semasa, inilah yang dikatakan hasil yang dipungut oleh Kerajaan Negeri dipulangkan balik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pemerkasaan pelbagai peringkat golongan termasuklah wanita yang dilihat sebagai tulang belakang kepada pembangunan sesebuah negeri perlu diberi perhatian serius dalam usaha melahirkan masyarakat yang seimbang.
“Saya menyokong usaha pembangunan masyarakat Orang Asli yang menjadi agenda penting bagi memastikan pencapaian mereka dapat disamaratakan dengan kaum-kaum yang lain serta memandang serius peranan anak-anak muda dan belia sebagai pewaris generasi akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA