Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal menyampaikan watikah pelantikan kepada jurulatih sukan pelbagai acara.

24 ORANG JURULATIH SUKAN PAHANG TERIMA WATIKAH PELANTIKAN

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 8 MEI 2023 : Seramai 24 orang jurulatih sukan pelbagai acara menerima watikah lantikan dari Majlis Sukan Pahang (MSP), hari ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, fokus utama yang diletakkan ialah sasaran khusus pencapaian atlet pada SUKMA Sarawak pada tahun depan.

“Kita juga buat penambahbaikan dari segi kebajikan jurulatih supaya mereka dapat berikan yang terbaik dalam bidang atau acara masing-masing.

“Saya harap dengan kepercayaan ini, setiap jurulatih dapat menjayakan KPI yang telah kita tetapkan iaitu pencapaian terbaik pada SUKMA dan kejohanan-kejohan sukan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir ke Majlis Aidilfitri anjuran MSP di sini.

Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 24 orang jurulatih baru dan lama selain sumbangan raya kepada atlet dan jurulatih.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mu’azamil Jili.

Dalam pada itu beliau berkata bagi memastikan sasaran yang diletakkan pada SUKMA akan datang membuahkan kejayaan, pihaknya telah melantik Chef de Mission (ketua) bagi memantau dan meninjau persiapan atlet-atlet dalam setiap sukan yang dipertandingkan.

“Kita telah melantik Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah mengikut keputusan Mesyuarat Lembaga Ahli Pengarah MSP pada Februari lalu nakun belum diuar-uarkan.

“Kita harap beliau dapat buat persediaan untuk turun padang bersama MSP meninjau persiapan atlet kita dari semasa ke semasa nanti,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram