Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 APRIL 2023 : Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Abdulaziz menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dari pelbagai lapisan setiap kali menjelangnya perayaan Aidilfitri.
Bagi pasangan berbangsa Cina, Puan Chua Siew Ling, 37, dan suami, Encik Song Wei Rong, 34, berkongsi perasaan teruja untuk turut serta berkunjung ke majlis berkenaan buat kali pertama di Istana Abdulaziz ini.
“Memang excited sangat sebab memang selalu lalu (di hadapan Istana Abdulaziz), jadi ada rasa nak masuk dan tengok. Bila ada (sambutan) hari raya (Aidilfitri) ini, memang kami ambil peluang nak masuk.
“Suasana sangat meriah (sambutan majlis Hari Raya Aidilfitri) dengan orang ramai makan bersama, dan makanan tradisional yang sedap-sedap belaka, memang seronok,” ujar pasangan yang tinggal di KotaSAS di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, R. Mogenes, 29, melahirkan rasa seronok dan kagum dengan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang hadir ke sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Rasanya suasana ini sangat meriah dan kita kagum tengok suasana harmoni dan semua bersemangat nak datang walaupun cuaca panas.
“Saya rasa gembira kerana ini pertama kali tengok dan datang ke sini. Saya tahu ada majlis hari raya di sini (Istana Abdulaziz) setiap tahun tapi sebelum ini saya kerja di luar Pahang, jadi baru tahun ini saya dapat datang.
“Hari ini kita dapat tengok pelbagai bangsa semua ada dan kita semua duduk semeja makan bersama, gembira, dan inilah semangat Malaysia,” katanya yang merupakan doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.
Bagi Puan Norhaniza Ahmad Sabri,45, dari Tok Jembal, Terengganu, melahirkan rasa teruja dan gembira dapat hadir dan bertentang mata dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
“Saya pertama kali datang ke sini dan dapat bertemu, bertentang mata dengan Tuanku. Rasa seronok dan teruja sangat.
“Makanan sedap dan pelbagai. Anak-anak pun seronok. Rasa sangat berbaloi saya datang dari Terengganu dan dapat berada dalam majlis sambutan hari raya ini,” katanya.
Hampir 3,000 pengunjung telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Abdulaziz hari ini yang bermula dari 10.30 pagi sehingga 1 petang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA