Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal mempengerusikan Mesyuarat Perbincangan Projek Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Bilil Mesyuarat Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) di Kuantan

KERAJAAN PAHANG SEGERAKAN KELULUSAN TANAH PERHUTANAN BAGI PEMBINAAN PENCAWANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 18 APRIL 2023 : Kerajaan Pahang akan mempercepatkan kelulusan tanah di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi membolehkan proses pembinaan menara pencawang telekomunikasi dapat dilaksanakan dengan lancar.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, mesyuarat tersebut diadakan bertujuan menyelaraskan pergerakan kerja bagi Projek JENDELA Fasa 1 bagi seluruh Pahang melibatkan beberapa agensi berkaitan.

“Antara agensi-agensi yang terlibat adalah Pahang Corp, Koridor Utiliti Pahang (KUP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK).

“Tujuannya adalah untuk mendapatkan perkembangan terkini berkenaan dengan perlaksanaan Projek JENDELA dan kita berbincang berkenaan penyediaan surat tawaran dan ‘tendency agreement’ melibatkan permit penggunaan untuk pembinaan menara ini, jadi ini menjadi fokus kepada proses kerja JPNP,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamalmempengerusikan Mesyuarat Perbincangan Projek Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Bilil Mesyuarat Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) di Kuantan

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perbincangan Projek Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Bilil Mesyuarat Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) di Kuantan, hari ini.

Pada perbincangan itu juga, beliau telah memperoleh persetujuan bersama JPNP bagi mempercepatkan proses kelulusan bagi pembinaan menara telekomunikasi yang melibatkan 45 permohonan tanah hutan simpan di bawah JPNP.

“Alhamdulillah kita sudah capai persetujuan tadi untuk menyegerakan proses kerja ini.

“Saya rasa dengan persetujuan yang melibatkan proses kerja di Pejabat Perhutanan dan penambahbaikan akan dapat mempercepatkan proses kerja pembinaan menara telekomunikasi ini agar berada di landasan, itulah hasrat kerajaan untuk nempercepatkan pembinaan menara demi manfaat rakyat,” katanya.

Tambahnya, proses kerja akan dipercepatkan daripada peringkat kelulusan sehingga pengeluaran nombor permit agar dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan berbanding dua bulan pada proses biasa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram