Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 60 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP)

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN KURNIA SUMBANGAN KEPADA 60 PELAJAR UMP

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 14 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 60 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Penyampaian kurnia tersebut telah diadakan pada Program Berbuka Puasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama warga UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP di Gambang, sini hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Naib Canselor UMP, YH. Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, mahasiswa dan akademia UMP akan meneruskan kecemerlangan akademik serta terus mengungguli bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, bersempena Ramadan kali ini, UMP telah mengagihkan sebanyak RM200,000 kepada 1,600 pelajar bagi menyediakan iftar Ramadan dan sahur percuma.

“Pihak universiti juga mengharapkan agar warga UMP akan dapat menyuburkan semangat bersedekah, berazam menyumbang wakaf dan memperbanyakkan amalan bagi meningkatkan taraf kualiti kita kehidupan dan sumbangan ini boleh dilakukan melalui medium Yayasan UMP,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram