Majlis tadarus Al-Quran ini bagi mengimarahkan lagi suasana Ramadhan sekaligus mengambil peluang mengumpulkan ahli-ahli Puspanita untuk mengambil manfaat dalam majlis ilmu tersebut.

TADARUS AL-QURAN ACARA TAHUNAN PUSPANITA PAHANG

Oleh : Nur Fatin Alia Mokhtar dan Fairus Mohd

KUANTAN, 14 APRIL 2023: Tadarus Al-Quran merupakan amalan yang dituntut di bulan Ramadhan bertadarus dapat menjadi satu platform dalam merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Negeri Pahang, YBhg. Datin Sri Kamariah Mohamad berkata, Puspanita telah mengambil inisiatif mengadakan majlis tadarus Al-Quran ini bagi mengimarahkan lagi suasana Ramadhan sekaligus mengambil peluang mengumpulkan ahli-ahli persatuan untuk mengambil manfaat dalam majlis ilmu tersebut.

“Seperti tahun-tahun yang lalu, program ini memang kita akan laksanakan setiap tahun. Pada tahun-tahun yang lepas kita agihkan juzuk-juzuk tertentu yang akan dibaca Puspanita Kebangsaan. Tapi tahun ini tidak ada, jadi kita buat untuk program tahun ini seperti biasa cuma kita tak nak terlalu lama sangat masa, jadi kita buat dua sesi. Jadi hari ini, kita ambil yang juzuk yang ke-16 sehingga juzuk yang ke-30 dan terus untuk majlis khatam.

“Penyertaan kali ini, saya lebihkan kepada biro persaraan. Saya sebagai pengerusi saya ambil tanggungjawab ini bukan sekadar sebagai rutin tahunan tapi yang penting kita ambil peluang ini untuk ahli-ahli terutamanya untuk mereka yang tidak berapa mahir dalam membaca al-quran supaya sekurang-kurangnya pada bulan ramadhan dengan bertadarus bersama rakan, dia boleh cuba untuk perbetulkan bacaan dan daripada situ kita dapat muhasabah diri kita.

 

Jadi tidak salah, sekali setahun pada bulan ramadhan ini, kita jadikan itu sebagai rutin kita sekurang-kurangnya, insya-Allah dalam bulan ramadhan 30 hari ini kita dapat habiskan 30 juzuk. Mungkin tidak mampu, tetapi itulah tekad kita,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program tadarus itu disertai oleh seramai 60 ahli persatuan, termasuk ahli jawatankuasa persatuan yang telah diagihkan mengikut kelompok biro persatuan tersebut.

Sementara itu, beliau juga berharap melalui majlis ini ahli-ahli persatuan dapat membina ukhuwah sesama mereka dan dapat menyemarakkan amalan-amalan yang telah lama tidak dipraktikkan dalam masyarakat sekarang.

“Harapan saya ahli-ahli Puspanita yang hadir mahupun yang tidak hadir dapat mengambil peluang sempena bulan ramadhan ini dan melalui program tadarus ini, ahli-ahli kita termasuk ahli jawatankuasa boleh membetulkan amalan kita yang biasa dan mungkin itu salah satu cara untuk kita lebih mantap lagi dalam bacaan Al-Quran,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram