Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 APRIL 2023 : Sumbangan Ramadan dan Syawal kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang dinaikkan kepada RM3,000 tahun ini berbanding RM2,000 pada tahun lepas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang ini adalah tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan yang kurang berkemampuan di bulan yang mulia ini.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang (YP) menganjurkan program Ihya Ramadan pada tahun ini dengan tema Ramadan Dinanti, Rahmat Ilahi sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan yang kurang berkemampuan bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini.

“Antara program yang dijalankan adalah penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan iaitu bantuan kepada anak yatim, warga emas, asnaf dan golongan daif serta orang kurang upaya (OKU).
“Dan hari ini saya akan menyampaikan sumbangan Ramadan dan Syawal kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang akan menerima RM3,000 di mana Kadar pemberian ini dinaikkan sebanyak RM1,000 berbanding tahun 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Ramadan Yayasan Pahang 2023 di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau telah menyampaikan sumbangan Ramadan dan Syawal ini kepada 10 NGO iaitu Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA, Pahang); Dapur Infaq Ummah; Drug Intervention Community (DIC, Pahang); Persatuan Insaf Pahang; dan Persatuan Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Pahang.
Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan sama kepada Persatuan Qiadah PETAMA Pahang; Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Pahang (PESONA); National Autism Society of Malaysia (NASOM, Kuantan); Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM, Pahang); dan Persatuan Ibubapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS).
Beliau turut memberikan sumbangan duit raya bernilai RM100 setiap seorang kepada 223 anak-anak yang terdiri daripada 50 anak-anak rentan dari Jalan Wong Ah Jang dan sekitar Kuantan; 50 anak-anak DiC Pahang; 83 pelajar Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA); 23 pelajar SMART Tahfiz, University College Yayasan Pahang (UCYP); dan 17 pelajar dari Program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang.
Dalam majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan perbelanjaan sekolah sebanyak RM1,000 kepada Rizwan a/l Supian yang merupakan murid Orang Asli. -PAHANGMEDIA