YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali ketika merasmikan Majlis Perasmian Persidanga MyMudah Peringkat Negeri Pahang di Hotel Zenith hari ini.

PAHANG NEGERI PERTAMA CAPAI 100 PERATUS DAFTAR PBT, PDT BAGI MYMUDAH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 APRIL 2023 : Pahang merupakan negeri pertama yang telah mencapai 100 peratus mendaftarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi platform MyMudah di negara ini.

YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali berkata platform ini juga dapat digunakan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan oleh jentera Kerajaan Negeri.

“Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana mengambil langkah proaktif menubuhkan Unit MyMudah yang pertama bagi Wilayah Pantai Timur serta kejayaan melaksanakan projek MyMudah seperti inisiatif F8 bagi menambahbaik urusan pembinaan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan isu berkaitan penginapan sementara pekerja asing oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

“Saya difahamkan Pahang juga merupakan negeri pertama yang telah berjaya mendaftar 100 peratus bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Melalui platform ini kita dapat meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan oleh jentera Kerajaan Negeri,” katanya.

YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Pahang di Hotel Zenith hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman; dan pegawai-pegawai daerah negeri Pahang.

Beliau berkata inisiatif yang ditawarkan oleh MyMudah adalah bertujuan untuk memudahkan urusan perniagaan agar dapat memberi kelebihan kepada kerajaan negeri dalam menarik lebih banyak pelabur ke dalam negeri.

“Dengan memudahkan urusan perniagaan, pertumbuhan ekonomi tempatan akan dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama, peluang pekerjaan akan diwujudkan bagi anak tempatan.

“Oleh itu, inisiatif ini boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di peringkat negeri.

“Saya menyeru semua agensi Kerajaan Negeri dan PBT untuk memberi kerjasama berterusan dalam memanfaatkan platform MyMudah bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga,” katanya.

Beliau dalam majlis tersebut turut menyampaikan Anugerah Tokoh Produktiviti kepada YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin sebagai tanda simbolik komitmen beliau dalam memastikan program berbentuk kualiti dan inivasi dilaksanakan secara berterusan di negeri ini.

Sebanyak 12 PBT di negeri ini termasuk Lembaga Pembangunan Tioman turut menerima sijil penghargaan di atas kejayaan penubuhan Unit MyMudah sebanyak 100 peratus.

Pelancaran inisiatif MyMudah hari ini juga memperkenalkan Garis Panduan Pelesenan PBT Pahang, Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing Cameron Highlands dan Katalog Perundangan yang menjadi tunjang utama dalam memacu inisiatif MyMudah negeri. yang bertepatan dengan tema forum iaitu MyMudah Pahang: Peraturan Tangkas Memacu Malaysia MADANI. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram