Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal hadir ke Perjumpaan bersama Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua'adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Pahang, Kuantan.

FUTSAL AKAN DIPERKASA MELALUI PELBAGAI PEMBANGUNAN AKTIVITI DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 06 APRIL 2023 : Sukan futsal di negeri ini akan diperkasakan melalui pembangunan aktiviti meliputi pelbagai institusi dan kursus yang dijalankan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata Kerajaan Negeri telah berbincang dengan pihak Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang serta Pahang Rangers bagi tujuan ini.

“Hari ini saya mendengar taklimat daripada pasukan Pahang Rangers yang dinaungi oleh YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama dengan Majlis Sukan Pahang (MSP), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

“Tujuannya adalah bagi mendengar cadangan daripada pasukan Pahang Rangers untuk menentukan hala tuju sukan futsal di negeri Pahang ini.

“Jadi banyak perkara yang kita bincangkan, antaranya, pembangunan sukan futsal melibatkan pelajar-pelajar sekolah, dari pelbagai peringkat umur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan bersama Presiden Pahang Rangers di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Pahang hari ini.

Beliau berkata aktiviti pembangunan yang dicadangkan bagi sukan futsal ini juga turut melihat faktor kekurangan pengadil dan jurulatih bagi sukan futsal di negeri ini.

“Kita tengok dari segi pembangunan atau kursus untuk jurulatih dan juga pengadil yang masih baru di Pahang ini, tak ramai lagi pengadil futsal di negeri Pahang ini.

“Jadi kita tengok bagaimana kita nak mula menganjurkan kursus-kursus untuk pengadil dan juga jurulatih ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, hasil perbincangan yang dijalankan hari ini, belia menerima maklumbalas yang baik daripada agensi terlibat bagi membangunkan sukan futsal di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram