Penjawat awam Negeri Pahangmenyatakan rasa gembira dan syukur di atas pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada semalam.

SYUKUR DAPAT BONUS RAYA, TERIMA KASIH KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 5 APRIL 2023 : Jelas terpancar sinar kegirangan pada penjawat awam Negeri Pahang selepas mendengar pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 sebanyak RM1,200 oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail semalam.

Bagi mereka pemberian bantuan khas ini dapat memberikan kegembiraan dan kelegaan kepada kebanyakan penjawat awam dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Encik Muhammad Aidil Abdul Wahid, bantuan khas yang diumumkan ini dapat juga menampung untuk berbelanja di Aidilfitri.

Encik Muhammad Aidil Abdul Wahid

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan pemberian sumbangan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 ini. Terima kasih banyak-banyak Tok Wan atas bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Puan Syarifah Annur Syed Mohd Idrus berkata, pemberian bantuan khas ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap keperluan rakyat terutama apabila tiba musim perayaan.

Puan Syarifah Annur Syed Mohd Idrus

“Pertamanya, terima kasih kepada MB kerana bagi bonus kepada penjawat awam Negeri Pahang, InsyaaAllah saya akan menggunakan untuk persiapan hari raya nanti. Terima kasih, Tok Wan,” katanya.

Bagi Cik Qurratu Najmi Abdul Mubin pula, bantuan khas yang diberikan ini pastinya dapat membantu menambah perbelanjaan bagi membuat persiapan bagi menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kalau untuk kita dekat dengan Aidilfitri ini, InsyaAllah untuk kegunaan persiapan hari raya. Terima kasih Tok Wan kerana bagi bantuan Aidilfitri kepada kami penjawat awam,” katanya.

Cik Qurratu Najmi Abdul Mubin

Semalam, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 bersempena perayaan Hari Raya berjumlah RM12,957 juta kepada 22,973 penjawat awam dan empat kelompok golongan sasar di negeri ini.

Bantuan itu termasuklah 8,000 penjawat awam Negeri Pahang yang akan menerima bantuan khas berjumlah RM1,200, seramai 700 anak-anak yatim berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat RM200 dan 4,500 pesara Kerajaan Negeri juga menerima RM200 seorang

Manakala bagi 7,000 ibu tunggal miskin pula menerima RM200 seorang, Pengerusi JPKK, Timbalan Pengerusi JKKR, Pengerusi JPKKOA dan tok batin akan menerima RM500 serta setiausaha JPKK juga menerima bantuan RM200. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram