RM1,200 BANTUAN KHAS KEWANGAN AIDILFITRI UNTUK PENJAWAT AWAM

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 4 APRIL 2023 :  Penjawat awam Negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM1,200 seorang dengan implikasi kewangan sebanyak RM9.6 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain penjawat awam negeri, turut diberikan bantuan sama ialah golongan sasar terdiri daripada 700 anak-anak yatim berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan mendapat RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM140,000.

“Seramai 4,500 pesara Kerajaan Negeri juga akan menerima RM200 seorang dengan implikasi kewangan RM900,000 manakala 7,000 ibu tunggal miskin juga akan menerima RM200 dengan jumlah keseluruhan RM1.4 juta.

“Dan yang akhir sekali adalah Pengerusi JPKK ada 587 orang termasuklah juga Timbalan Pengerusi JKKR, Pengerusi JPKKOA dan Tok Batin, ada 1,599 orang kita bagi RM500 seorang, berjumlah RM799,500 termasuk juga Setiausaha JPKK ada 587 orang, kita bagi RM200 bernilai RM117,400,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan termasuk bantuan khas kepada penjawat awam dan empat kumpulan tadi melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM12,956,900.

“Saya berharap dengan bantuan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan bebanan kewangan mereka dan mereka dapat menyambut Aidilfitri sepertimana orang-orang lain juga,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram