Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 31 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Maahad Dirasat Diniyyah Kampung Temin di Jerantut.
Turut berangkat ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyempurnakan Acara Menandatangani Papan Tanda Perasmian Maahad Dirasat Diniyyah Kampung Temin.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkembangan pusat-pusat pengajian tahfiz di Negeri Pahang membuktikan Kerajaan Pahang sangat menitikberatkan pendidikan agama dengan menghafal Al-Quran dan Tafaqquh Fiddin.
“Berkat limpah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku, hamba tua tuanku YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail akan mengembangkan lagi pusat pendidikan agama di kalangan anak-anak Orang Asli di Negeri Pahang ini,” katanya ketika menyembah ucapan pada Majlis Perasmian Maahad Dirasat Diniyyah Kampung Temin di Jerantut, hari ini.
Maahad Dirasat Diniyyah kini menempatkan seramai 50 pelajar tahfiz dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa kepada semua pelajar. – PAHANGMEDIA