Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 30 MAC 2023 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Tahun 1 sumbangan daripada Kerajaan Pahang dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Menurut seorang penerima, Puan Epimerianti Rasip, 30, dari Kampung Pos Pantos, wang bantuan ini akan digunakan bagi membeli kelengkapan persekolahan anaknya yang masih belum mencukupi.

“Rasa gembira sangat sebab boleh guna untuk beli peralatan sekolah anak sebab sebelum ini saya beli sikit-sikit (peralatan sekolah) macam baju sekolah saya beli sehelai sahaja, dan alat tulis saya beli pensel dua batang. Itu sahaja sebab tak cukup duit.
“Dia ada kakak darjah 3, sebab itu lari sikit bajet dekat situ (persediaan kelengkapan sekolah anak Tahun 1) sebab dua orang (anak) sekolah. Jadi saya utamakan kakak dia dulu. Yang adik ni saya tambah sikit-sikit.
“Dengan duit ini bolehlah saya beli baju sekolah (tambahan) untuk dia sebab baju yang ada ini sehelai sahaja. Dia pakai (baju sekolah) hari ini, dia balik (sekolah) saya basuh, esok dia pakai balik. Terima kasih banyak-banyak Kerajaan Negeri dan Dato’ Sri Wan Rosdy sebab beri bantuan ini. Saya boleh beli barang keperluan anak saya, terima kasih sangat-sangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan BBP Tahun 1 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai di sini hari ini.

Sementara itu, bagi Encik Ramli Tanong, 40, dari Kampung Serau turut melahirkan kesyukuran diatas pemberian bantuan ini yang akan digunakan bagi membeli keperluan persekolahan anak bongsunya.
“Rasa bersyukur, kerana duit yang ada saya guna untuk makan minum (keluarga), ada lebih baru beli barang sekolah anak. Ini (duit BPP Tahun 1) boleh beli buku, pembaris, pemadam, kalau cukup seluar baju (sekolah) dia,” katanya.
Menurut Puan Noraliah Abdullah, 32, dari Kampung Pos Pantos berkongsi rasa gembira dengan pemberian bantuan Tahun 1 ini.
“Rasa gembira, terima kasih. Saya nak beli alat-alat sekolah macam pensel, buku, warna pensel. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya yang memiliki anak kembar Tahun 1 di SK Lanai.

Puan Zati Afiqah Zailaludin, 30, dari Sungai Koyan turut melahirkan kesyukuran dengan pemberian BBP yang dapat digunakan bagi membeli pakaian tambahan kepada anaknya.
“Alhamdulillah rasa lega dapat bantuan tambahan untuk dia (anak) beli barang sekolah. Nak buat tambahan untuk beli kasut sekolah dan baju (sekolah) dia. Peralatan lain dah ada dah,” katanya ketika ditemui di SK (Felda) Sungai Koyan. – PAHANGMEDIA