Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

LELAKI SERANG IMAM DIDAKWA DI MAHKAMAH ESOK

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 30 MAC 2023 : Seorang lelaki yang menyerang imam ketika solat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, sini pada 26 Mac lalu akan didakwa di Mahkmah Kuantan, esok.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan kerana melakukan kacau ganggu semasa solat di rumah ibadat.

Lelaki terbabit kini berada di bawah pengawasan Unit Psikiatri di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

“Kes ini telah pun mendapat arahan pertuduhan daripada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk dibuat pertuduhan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Kuantan pada esok, 31 Mac 2023.

“Suspek ini juga kita akan buat pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melalui saringan yang telah dibuat, suspek ini positif methamphetamine dan juga amphetamine,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, lelaki berkenaan telah menyerang mangsa yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Thurath, Ilhan Muhammad Irham yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram