Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 28 MAC 2023 : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat menjalin kerjasama bersama Yayasan Pahang (YP) bagi mengembangkan modul hafazan di kalangan kanak-kanak menerusi Tadika KEMAS.
Ketua Setiausaha KKDW, Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun berkata, YP telah berjaya menyediakan dan melaksanakan satu modul pengajaran dan modul hafazan yang baik.
“Kami ingin mengadakan kerjasama yang lebih rapat dengan Yayasan Pahang untuk kita mengembangkan modul ini di tabika-tabika kami di bawah KEMAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif YP, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi pada lawatan kerja beliau ke Yayasan Pahang dan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) di KOTASAS, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah KEMAS, Encik Ahmad Kamal Idris Haji Mohd Nawawi, Pegawai Tugas-Tugas Khas KKDW, YH. Dato’ Tajul Razi Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Tuan Haji Zairuddin Mat Zuini dan Pengarah Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (BPAK) KEMAS, Cik Anisah Saidin.
Pada lawatan kerja itu, beliau berkata, pihaknya menetapkan satu jangka masa sehingga Jun nanti untuk melihat sama ada kerjasama ini dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi menyediakan satu modul yang baik.
“Ada beberapa perkara yang kita perlu kita perincikan terutama dari segi keupayaan tenaga pengajar dan sebagainya, jadi perkara ini perlu dibincangkan lebih teratur dan terperinci di antara pihak kementerian dan pihak Yayasan Pahang dan kita berpendapat bahawa jangka masa sehingga bulan enam satu tempoh yang sesuai,” katanya.
Tambah beliau, satu perjanjian persefahaman akan diadakan sebelum kerjasama mantap dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2017, sebanyak 21 cawangan TTNP telah menjalankan operasinya di seluruh Pahang dengan mendidik seramai 702 kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.
TTNP menyediakan pelbagai kemudahan asas yang selesa dan selamat untuk kanak-kanak selain memperkenalkan modul pengajaran yang menitikberatkan hafazan al-Quran dan pendidikan akademik di kalangan anak-anak. – PAHANGMEDIA