Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 MAC 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM42.4 juta menerusi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) pada tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada 218,193 penerima.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukkan bantuan berkenaan yang meningkat sebanyak RM8 juta berbanding tahun lalu itu bertujuan membantu rakyat menerusi pelbagai bentuk inisiatif melibatkan empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Masyarakat Umum dan Kluster Pemberian Aprisiasi.

“Bantuan ini dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, kerajaan pun stabil dan ini boleh memberikan fokus untuk mengurus dan mentadbir Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Shariff.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan BPP Kluster Pelajar Tahun Satu bagi kesemua 11 daerah berjumlah RM2.514 juta.
Dalam ucapannya, beliau berkata, seramai 25,146 orang murid Darjah 1 di seluruh Pahang di akan menerima RM100 setiap seorang.
“Pengagihan ini akan bermula pada hari ini sehingga 7 April depan di seluruh 540 buah sekolah rendah seluruh Pahang. Ibu Bapa diminta hadir ke sekolah untuk mengambil wang ini bagi pihak anak-anak.
“Saya berharap dengan bantuan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa kerana saya percaya RM100 ini untuk memulakan persekolahan darjah satu amat mencukupi,” katanya. – PAHANGMEDIA