YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Lori Tangki Baharu PAIP dii pekarangan Dataran Bentong di Bentong hari ini

LORI TANGKI BAHARU, TINGKAT PERKHIDMATAN BEKALAN AIR DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 22 MAC 2023 : Pelancaran 10 buah lori tangki air untuk kegunaan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) adalah bagi membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelancaran menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin dengan masalah air di negeri ini.

“Seperti mana yang saya katakan tempoh hari bahawa masalah air ini kita akan selesaikan 90 peratus menjelang 2025. Sementara nak sampai ke 2025 kita pun membuat persediaan untuk bantuan jangka masa pendek andainya berlaku masalah air di beberapa tempat,” katanya pada Majlis Pelancaran Lori Tangki Baharu PAIP dii pekarangan Dataran Bentong di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Lori Tangki Baharu PAIP dii pekarangan Dataran Bentong di Bentong hari ini

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Berhad, YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Dalam pada itu, Dato’ Saiful Zaini berkata, 10 lori tangki air baharu ini merupakan tambahan kepada 24 lori sedia ada bagi mempertingkatkan perkhidmatan PAIP.

Jelasnya, sebanyak 217 projek sedang dilaksanakan sebagaimana diumumkan oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bernilai RM2.3 bilion yang akan disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti.

“Sementara dua tiga tahun ini kita akan ada sedikit krisis air di sini di sana, kita memerlukan perkhidmatan daripada tanker, jadi kita tambahkan lagi tanker, kita ada 24 tanker sedia ada, tambah lagi 10, jadi ada 34 tanker, cukuplah untuk setiap daerah lebih kurang tiga atau dua secara purata.

“Kita juga hendak tukar yang lama sebab kos semakin meningkat, pembiayaan semakin meningkat jadi dengan tanker baharu lebih efisen kita punya servis, insyaa Allah, itulah komitmen PAIP dan Kerajaan Pahang di bawah YAB Menteri Besar kita, itu yang kita lakukan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, PAIP Berhad turut membantu Syarikat Operator Air Negeri lain yang menghadapi krisis air di negeri masing-masing. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram