Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 19 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Upacara Penutup Eksesais Latgabma Malindo Darsasa 11AB/2023 di sini hari ini.
Upacara penutup dimulakan dengan persembahan serbuan akhir Latihan Medan (FTX) melawan keganasan bangunan di Hotel Ancasa diikuti penerjunan bebas seramai 12 wakil ATM dan TNI yang membawa 12 bendera di Padang Majlis Daerah Pekan (MDP).
Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff selaku mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Panglima Angkatan Bersama, YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar Mohd Dom, Panglima Komando Gabungan Wilayah Pertahanan 1, Laksamana Madya TNI Irvansyah, Duta Besar Rupublik Indonesia ke Malaysia, TYT Bapak Hermono, Komandan Jenderal Komando Pasukan Khusus TNI, Mayor Jeneral TNI H. Iwan Setiawan dan AKS J3 MK AB Mejar Jeneral Dato’ Nur Hafiz Abdul Karim.
Eksesais itu telah dimulakan pada 10 Mac lalu dan akan berakhir pada 21 Mac nanti dengan melibatkan seramai 611 orang terdiri daripada 461 anggota dari Malaysia termasuk dua pegawai pemerhati daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 150 anggota tentera dan dua pemerhati POLRI dari Indonesia.
Latihan ini adalah eksesais bilateral di antara ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang diadakan setiap tiga tahun bertujuan mewujudkan strategi cegah rintang dan strategi tindakan terhadap kumpulan yang mengancam kedaulatan MALINDO selain mewujudkan kemampuan kerjasama dalam kesiapsiagaan ATM dan TNI dan menguji PROTAP No 16 (Operasi Gabungan Bersama MALINDO bagi menanangani Ancaman Keganasan) dan PROTAP No 18 (Prosedur Menangani Keganasan).
Eksesais ini dijalankan dalam empat fasa iaitu fasa Persiapan dan Latihan (STAFFEX), latihan Integrasi Pasukan (FIT), fasa Latihan Medan (FTX) dan Post Exercise Debrief (PXD).
Pada latihan ini juga turut dijalankan aktiviti Jiwa Murni bagi mewujudkan kerjasama dan perhubungan antara masyarakat setempat dengan tentera dari kedua-dua negara. – PAHANGMEDIA