Encik Ahmad Faizal Sulaiman, 45, Kampung Jerangsang

BAGAI MIMPI DAPAT RUMAH RAKYAT PAHANG SECARA PERCUMA – PENERIMA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

LIPIS, 11 MAC 2023 : Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) menyifatkan pemberian rumah yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Pahang itu bagai sebuah mimpi yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Menurut Encik Ahmad Faizal Sulaiman, 45, dari Kampung Jerangsang di sini berkata dia tidak pernah terfikir akan mempunyai rumah sendiri sebelum ini dan pemberian RRP ini seperti mimpi buatnya dan keluarga.

Encik Lee Choong Kong, 59, Kampung Kelapa

“Rasa bersyukur sangat, 45 tahun baru dapat rumah sendiri. Memang rezeki sungguhlah kerana tak pernah termimpi pun (untuk ada rumah sendiri).

“Terima kasih banyak kepada Dato’ Sri Soffi, ADUN Benta, seterusnya Menteri Besar Pahang. Bangga sangat ada Menteri Besar seperti Dato’ Sri Wan Rosdy,” katanya yang tinggal di rumah pusaka ayahnya bersama keluarga abangnya.

Sebelum itu beliau menerima kunci rumah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) Dan Majlis Penyampaian Sumbangan Mengimarahkan Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) hari ini.

Seorang lagi penerima, Encik Lee Choong Kong, 59, dari Kampung Kelapa berkata rumah RRP yang diterima ini dapat menggantikan rumahnya yang rosak teruk akibat banjir sebelum ini.

“Rumah saya habis (rosak) kena banjir. Nasib baik ada bantuan rumah daripada Kerajaan Negeri Pahang yang tolong kita buat rumah.

“Buat masa sekarang saya duduk di rumah yang rosak itu, dah baiki sikit-sikit untuk sementara saya, anak, dan abang duduk.

“Hari ini rasa sangat gembira bila Menteri Besar bagi rumah, nak tolong kita. Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Puan Leela Xavier, 54, Padang Tengku

Sementara itu, menurut Puan Leela Xavier, 54, dari Padang Tengku berkata dia juga tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah sendiri sebelum ini.

“Rasa suka, gembira. Tak pernah terfikir (terima RRP), tak pernah mimpi pun. Sebab fikir bila anak dah besar, nanti mereka belilah rumah.

“Sementara anak besar, kita duduk rumah sewa dulu. Terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Mustapha (Long) berikan saya rumah,” katanya yang mempunyai empat orang anak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram