Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 06 MAC 2023 : Kerajaan Pahang akan memohon pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jalan utama Felda Selancar dan Perwira Damai yang runtuh akibat arus deras 1 Mac lepas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini memandangkan kemungkinan akan berlaku perkara sama di masa hadapan sekiranya jalan berkenaan disambung semula.
“Semalam saya bincang dengan JKR (Jabatan Kerja Raya), JKR mencadangkan supaya kalau dibuat jalan juga kemungkinan jalan akan putus berulang kembali.

“Jadi yang disyorkan adalah (bina) jambatan, jadi saya pun bersetuju. Daripada buat, keluar duit, kemudian putus, buat lagi, baik kita sediakan jambatan untuk boleh diselesaikan untuk jangka masa panjang.
“Kita akan mohon jambatan kekal (di laluan berkenaan) untuk sementara ini kita pakai jambatan bailey dulu. Dan saya dah minta pihak JKR semalam, selagi belum ada peruntukan, jambatan bailey itu akan terus kekal di situ untuk kegunaan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Tanjung Gemok di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YH. Dato’ Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Beliau berkata pembinaan jambatan bailey yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi berkaitan seperti JKR dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dapat digunakan oleh orang ramai esok.
Mengulas mengenai pembaikan jalan Jerantut-Benta yang rosak, beliau berkata ia dalam tindakan oleh Kerajaan Negeri dan mengambil masa.
“Bagi jalan Jerantut-Benta yang dah lama terputus, ia dalam tindakan kita. Kita pastikan semuanya dalam tindakan kita tapi ianya mengambil masa.
“Sebagai contohnya jalan yang terputus di Felda Selancar 2 itu sepatutnya boleh siap pada semalam lagi, tetapi semasa pembinaan dibuat didapati ada pergerakan tanah dan bila ada pergerakan, pihak JKR, tentera, terpaksa berhenti sekejap dan sekarang ini mereka telah sambung balik menjalankan kerja-kerja untuk menyiapkan jambatan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA