Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan melihat pameran pad Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Hotel Zenith, Cameron Highlands.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG SAKSI MOU TINGKAT PEMANTAUAN GUNA TANAH

Oleh : Fansurina Abdullah

CAMERON HIGHLANDS, 6 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Hotel Zenith, Cameron Highlands.

MoU tersebut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Aerodyne Group dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

MoU ini telah ditandatangani oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, Tuan Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah MYSA, YBrs Gs. Haji Azlikamil Napiah, Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Mohd Zaki Mat Amin dan Ketua Pegawai Strategi Aerodyne Group, Encik Amir Zakwan Anuar.

MoU bersama MYSA merupakan insentif pemerkasaan pemantauan guna tanah di daerah berkenaan melalui teknologi satelit (satelitte surveillance) dan perkongsian data yang efisien membabitkan pelbagai agensi.

Manakala MoU bersama NAHRIM pula merupakan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sedimen menerusi penggunaan NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS) dalam usaha memelihara sumber air di Cameron Highlands.

Bagi MoU bersama Aerodyne pula merupakan usaha penambahbaikan kaedah pemantauan terhadap pematuhan dalam melaksanakan projek di daerah tersebut dengan mengoptimumkan teknologi dron, kemajuan serta pengawalan aspek pematuhan projek pembangunan dan pertanian.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, YH. Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Pengarah Eksekutif Bahagian Korporat PKCH, YBrs Muhamad Amirul Abdullah, Ketua-ketua Jabatan dan Pemimpin Setempat.

Solusi berteknologi tinggi ini merangkumi ruang angkasa, tanah dan air mampu menambah baik kualiti tadbir urus di Cameron Highlands yang lebih berkesan dan kos efektif berbanding kaedah konvensional. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram