Oleh : Fansurina Abdullah
CAMERON HIGHLANDS, 5 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands dapat dijadikan sebagai kampung contoh.
Titah baginda, kampung contoh haruslah lengkap dengan segala kemudahan selain penduduknya perlu mengekalkan keharmonian, kebersihan dan kecantikan kampung halaman agar dapat dicontohi perkampungan Orang Asli yang lain.
“Hasrat saya kalau boleh saya nak tengok kampung ini menjadi kampung yang dicontohi dari segi kebersihan, kecantikan, keharmonian orang kita di sini dan kita lengkapkan segala apa yang boleh pihak kerajaan harus tunaikan dalam masa yang terdekat ini.
“Saya percaya segala infrastruktur-infrastruktur akan diusahakan khususnya berkaitan elektrik, berkaitan air dan seterusnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YH. Dato’ Ali Hanafiah Mohd Yunus berhubung kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Kuala Boh di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Pada kunjungan itu, baginda turut berkenan mengurniakan bantuan persekolahan kepada anak-anak Orang Asli, sumbangan van kepada penduduk kampung KOA Kuala Boh dan pengurniaan bantuan zakat baik pulih rumah kepada Encik Zainudin Ragum.
Pada Januari lalu, Seri Paduka Baginda telah bercemar duli ke kampung sama bagi meninjau permasalahan telekomunikasi di Kampung Kuala Boh.
Seterusnya, Kerajaan Pahang telah mengambil tindakan proaktif apabila Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal telah turun bagi meninjau dan mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu terbabit dengan menempatkan pemancar telekomunikasi sementara sebelum menara komunikasi siap sepenuhnya pada September depan dengan peruntukan RM1.5 juta.
Kemudahan telekomunikasi ini akan dimanfaatkan oleh kira-kira 1,000 penduduk dan kampung-kampung berhampiran selepas kerja-kerja menaik taraf selesai. – PAHANGMEDIA