Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 03 MAC 2023 : Pahang merupakan negeri pertama di semenanjung yang telah menyiapkan menara telekomunikasi di atas tanah milik Kerajaan Negeri.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata menara tersebut terletak di Kampung Orang Asli (KOA) Semalin, Raub yang dijangka beroperasi pada Mei ini.
“Untuk menara telekomunikasi di Semalin (KOA Semalin) ini di bawah tanah Kerajaan Negeri Pahang yang pertama siap di semenanjung, ia merupakan menara telekomunikasi pertama yang siap di atas tanah Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, saya tengok tadi menaranya dah siap dan dijangka boleh beroperasi sepenuhnya pada April atau Mei tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke tapak menara telekomunikasi di KOA Semalin hari ini.
Menurut beliau lagi, pembinaan menara di KOA Semalin ini juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dari segi capaian internet dan komunikasi.
“Jadi sudah pastilah ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya di Kampung Orang Asli di Semalin ini.
“Dan sekaligus kita dapat menyelesaikan rungutan atau keluhan penduduk Kampung Orang Asli di sini yang selama ini memang capaian internet atau komunikasi di sini kurang memuaskan,” katanya.
Sementara itu, menurut Tok Batin KOA Semalin, Encik Rom a/l Murim berkata pembinaan menara ini memberi manfaat kepada 180 penduduk di kampungnya yang sebelum ini terpaksa keluar untuk mendapatkan capaian telefon atau internet.
Beliau turut melawat tapak menara telekomunikasi di empat kampung di sekitar daerah ini iaitu di Kampung Gali Hilir, Kampung Sejuk, dan ke Kampung Ulu Jeruas. -PAHANGMEDIA