Oleh : Fansurina Abdullah
MARAN, 3 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar kerajaan dapat menjalankan satu kajian bagi mengenalpasti punca banjir di Negeri Pahang supaya dapat mencari penyelesaian jangka pendek dan juga jangka panjang.
Titah baginda, kajian ini perlu dilakukan memandangkan kejadian banjir kerap kali melanda negeri ini apabila tiba Monsun Timur Laut (MTL).
“Saya harap pihak kerajaan dapat memberi satu kajian dan teliti untuk menentukan usaha-usaha bagi mengurangkan bebanan banjir ini agar dapat diatasi untuk jangka pendek dan jangka panjang.
“Kalau dilihat dari segi jangka panjang saya harap projek-projek tebatan banjir ini perlu dikaji dengan teliti, dalam pada itu juga sungai-sungai khususnya Sungai Pahang memerlukan kajian teliti dan terperinci supaya dapat didalamkan kerana kita faham bahawa sungai-sungai di Pahang ini sudah nampak cetek sangat,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan mendengar taklimat daripada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Kampung Baru Sungai Chedong di sini hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah SaidanSaidan.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah agar semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS agar dapat menjaga keselamatan dan kebersihan sepanjang berada di PPS.
Baginda juga meminta agar orang ramai patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya menerima arahan untuk berpindah ke PPS ketika banjir.
Baginda turut berkenan bercemar duli mengurniakan bantuan kepada 133 mangsa banjir daripada 41 keluarga di PPS Dewan Arena di Maran. – PAHANGMEDIA