YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Hari Apresiasi RISDA Negeri Pahang Tahun 2022 yang berlangsung di Hotel AC Marriot

RISDA BANTU PEKEBUN KECIL UNTUK TERUS SURVIVAL

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 2 MAC 2023 : RISDA menyediakan pelbagai program dan bantuan sokongan kepada pekebun kecil bagi membantu mereka untuk terus survival terutama selepas melalui fasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara program dan bantuan sokongan yang dilaksanakan adalah program produktiviti getah, bantuan pembangunan keusahawanan dan hasil baharu.

Selain itu, beliau berkata, program pembangunan sahsiah juga turut disediakan di mana ianya sudah tentu bagi meningkatkan taraf hidup serta tahap ekonomi 31,490 pekebun kecil membabitkan keluasan penanaman getah di negeri ini seluas 70,569 hektar.

“Saya difahamkan, RISDA mempunyai matlamat yang ditetapkan di bawah Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) Tahun 2021-2025.

“Saya yakin dan percaya, melalui penghasilan prestasi kerja yang tinggi, sasaran untuk merealisasikan impian RISDA bagi memastikan pekebun kecil memperoleh purata pendapatan RM4,500 sebulan bagi setiap keluarga pada 2025 akan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Hari Apresiasi RISDA Negeri Pahang Tahun 2022 yang berlangsung di Hotel AC Marriot di sini hari ini.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah RISDA Pahang, YBrs Encik Esa Rahimin.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan rasa penghargaan kepada penerima-penerima anugerah dan berharap ianya dapat menyuntik semangat kepada semua pihak dalam mengaplikasikan budaya kerja yang cemerlang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram