KESETIAAN CALON KEPADA PARTI FAKTOR PENTING PERLU DIBERI PERHATIAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 02 MAC 2023 : Kesetiaan kepada parti merupakan faktor penting yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan UMNO dalam melakukan pemilihan terhadap calon yang bertanding dalam pemilihan parti sesi 2023-2026.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, faktor ini bagi memudahkan presiden parti untuk mengurus dan mentadbir parti.

“Jadi saya berharap pemilihan kali ini akan dapat melihat yang pertama sekali ahli-ahli parti atau mereka yang bertanding mereka kena lihat kesetiaan kepada parti. Itu penting.

“Kalau ada kesetiaan dalam keadaan macam mana pun dia tetap setia dengan parti. Ada dugaan cabaran. Jadi bila tidak setia, apa yang berlaku, bila ada masalah dalaman agak sukar untuk presiden mengurus dan mentadbir,” katanya ketika sidang media di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau juga turut berharap semua pihak yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan memasarkan kelebihan diri dan apa yang dapat diberi kepada parti.

“Kita kena berkempen mestilah secara sihat. Dan kita kempen ini kita bawa diri kitalah. Apa kita nak kata dekat orang tu, kata dekat orang ni.

“Macam saya, saya memikirkan ada beberapa perkara kalau saya ada dalam top 5, perkara yang boleh saya sumbangkan atas kapasiti Menteri Besar atau Pengerusi Perhubungan berbanding dengan mereka, Menteri, Ahli Parlimen, mereka bukan Menteri Besar. Jadi dia ada berbeza sedikit. Dan begitu juga pengalaman di Pahang walaupun sebagai pembangkang,” katanya.

Beliau turut meminta supaya keputusan pemilihan calon ini diserahkan kepada pihak perwakilan sepenuhnya.

“Jadi kita serah kepada perwakilan kerana perwakilan ini sangat bijak untuk buat pilihan. Kalau mereka pilih sesiapa pun ada asas-asasnya. Kalau mereka tak pilih pun ada sebabnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram