YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang Kali Ke-21 Tahun 2021/2022 di Hotel Sri Manja Boutique di Kuantan

LEBIH RM69 JUTA BAGI PERKASA SEKOLAH AGAMA KERAJAAN NEGERI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 2 MAC 2023 : Sebanyak RM69.215 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang bagi memperkasa Sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang meliputi pelbagai aspek termasuklah kemudahan fasiliti yang selesa, kegiatan sukan dan lantikan guru-guru baharu di sekolah-sekolah terbabit.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan 100 perjawatan guru kontrak di sekolah agama membabitkan peruntukan RM3.5 juta.

“Malah, pada setiap tahu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan lebih daripada RM65 juta bagi membiayai emolumen, penyelenggaraan dan pembaikan (bangunan), peralatan beserta kelengkapan prasarana sekolah dan melaksanakan projek-projek pembangunan baharu sekolah.

“Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan RM360,000 setiap tahun bagi pembiayaan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang (MASISUPA) bagi peringkat zon dan peringkat pusat.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM300,000 turut disalurkan bagi pembiayaan pasukan Pahang untuk menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Ugama Malaysia (KESSUMA) dan RM85,000 untuk membiayai penyertaan pasukan Pahang dalam Ihtifal Ilmi Peringkat Kebangsaan (MIISMAM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023 – 2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang Kali Ke-21 Tahun 2021/2022 di Hotel Sri Manja Boutique di sini hari ini.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Pengarah JAIP, YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali al-Hafiz dan Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawawi Zainal Abidin.

Tambahnya, majlis yang berlangsung itu juga turut menerima pembiayaan sebanyak RM270,000 daripada Kerajaan Pahang sebagai tanda kesungguhan dan komitmen pihak kerajaan dalam memperkasa Sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram