Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menghantar borang pencalonan bagi jawatan Naib Presiden UMNO di Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, Kuala Lumpur.

KEWUJUDAN KEM DALAM PEMILIHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO HANYA SEKADAR ANDAIAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 FEBRUARI 2023 : Kewujudan kem tertentu berdasarkan calon bagi jawatan Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan hanya sekadar andaian semata-mata.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau sendiri tidak mengetahui kewujudan kem seperti yang diperkatakan.

“Setakat hari ini saya nampak (kewujudan kem tertentu) hanya andaian sahaja. Macam-macam (pihak) bagi pandangan. Kita tengok hari ini ada dua, tiga tokoh yang menyatakan kem itu, kem ini. Saya sendiri pun tak tahu.

“Jadi saya ingat ini terbuka kepada semua (pertandingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO),” katanya ketika ditemui media selepas Malam Anugerah Kecemerlangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Dewan Utama MBK di sini semalam.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Malam Anugerah Kecemerlangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Dewan Utama MBK semalam.

Beliau berkata pertandingan beliau bagi jawatan ini adalah kerana merasa terpanggil untuk menabur bakti di peringkat persekutuan.

“Ini kerana rakan-rakan di dalam UMNO mengatakan sudah lama tiada wakil Menteri Besar, Pengerusi Perhubungan (UMNO Negeri) dalam jawatan Naib Presiden begitu juga di Pantai Timur.

“Setelah berbincang dengan rakan-rakan, saya merasakan mungkin saya boleh menyumbang sekiranya saya diberi kepercayaan menduduki salah satu kerusi Naib Presiden (UMNO) berdasarkan track record,” katanya.

Beliau turut berharap berlaku pertandingan secara sihat di dalam perebutan jawatan yang dipertandingkan ini kerana ia adalah demi parti UMNO.

“Itu harapan kita (bersaing secara sihat). Kita berharap persaingan sihat, pertandingan sihat dan kita semua menawarkan diri untuk parti. Kalau diberi peluang, kepercayaan, kita berkhidmat untuk parti,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram