Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain (kanan) ketika Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf di Hotel Grand DarulMakmur hari ini.

MUIP TUBUH PERBADANAN WAKAF PAHANG 2025

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 22 FEBRUARI 2023 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam proses menubuhkan Perbadanan Wakaf Pahang bagi menguruskan urusan wakaf di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, penubuhan perbadanan ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dan beroperasi pada 2025.

“Dulu wakaf diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tapi banyak sangat tugas nak jaga masjid, kubur, surau, mualaf, orang miskin dan sebagainya, jadi kita tidak ada fokus.

“Jadi ini menimbulkan idea kita perlu mengasingkan pengurusan wakaf. Jadi untuk permulaan kita letakkan di bawah pengurusan zakat (Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang) dahulu.

“Ini kerana operasinya adalah sama. Kena jumpa orang, buat promosi, sediakan brochures. Cara (pengurusan) zakat dan wakaf ini adalah sama, cuma zakat ini wajib (dilaksanakan), wakaf secara sukahati,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf di Hotel Grand DarulMakmur hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos; Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang Dato’ Halidan Md Daud; dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain.

Beliau berkata penubuhanan perbadanan ini juga selari dengan Enakmen Wakaf Pahang yang diluluskan pada 13 Oktober tahun lepas.

“Kita juga akan bincangkan juga untuk mempelbagaikan instrument wakaf. Selain itu kita harapkan lebih 180 madrasah di negeri ini melakukan proses wakaf yang betul kerana wakaf perlu didaftarkan dengan cara yang betul di mana hanya MUIP pemegang wakaf tunggal di Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram