Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 18 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Pahang berhasrat untuk membangunkan sektor Sukan Pelancongan di negeri ini khususnya bertaraf antarabangaa seperti Cherating Surf Festival 2.0 dan Karnival Canoe dengan memperuntukkan RM9.1 juta menerusi Belanjawan 2023.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama dengan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal bagi membincangkan pembangunan potensi-potensi Sukan Pelancongan di Pahang.
“Memang Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan Sukan Pelancongan dan ini telah dibincangkan sebelum ini dan saya sendiri telah bersama-sama dengan Exco Belia dan Sukan, kita pernah bertemu dan berbincang untuk membangunkan potensi-potensi Sukan Pelancongan di Pahang.
“Acara surfing ini merupakan salah satu acara yang boleh dipertimbangkan,” katanya kepada media selepas hadir pada Acara Cherating Surf Festival 2.0 anjuran Cherating Surf Club di Cherating, petang tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Encik Chan Chun Kuang, Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim, wakil penganjur Cherating Surf Club, Encik Mohd Hazrul Hakimi dan Setiausaha Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Encik Azmi Yusoff.
Cherating Surf Festival 2.0 yang diadakan pada 16 hingga 19 Februari ini telah disertai seramai 140 peserta dari dalam dan luar negara dengan lapan kategori dipertandingkan
Kategori itu termasuklah ‘Shortboard’ dan ‘Longboard’ bagi kategori lelaki dan wanita, ‘Grommet’ terbuka kepada 17 tahun ke bawah, ‘Rookie’ masing-masing bagi kategori ‘beginner’ lelaki dan wanita manakala kategori ‘Bodyboard’ terbuka.
Kesemua peserta merebut hadiah wang tunai RM14,450, voucher dan trofi daripada penaja.
Para pemenang daripada acara ini berpeluang mewakili negara dalam pertandingan luncur ombak peringkat antarabangsa dengan pengumpulan mata dari setiap edisi pertandingan luncur ombak seluruh negara. – PAHANGMEDIA