Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 17 FEBRUARI 2023 : Seramai 53 asnaf terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), miskin tegar, pesakit terlantar dan ibu tunggal dari Kampung Kuala Medang, di sini, telah menerima bantuan kit makanan dan Juadah Makmur.
Bantuan kit makanan dan Juadah Makmur tersebut telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Medang.
Khutbah Jumaat telah disampaikan sendiri oleh Pegawai Agama Islam Daerah Lipis, Ustaz Mohd Zainudin Zakaria.
Pada majlis sama turut disampaikan 600 pek Juadah Makmur kepada jemaah masjid sama.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kuala Medang.
Program Juadah Makmur anjuran Kerajaan Negeri ini merupakan cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan telah pun dilaksanakan di seluruh negeri.
Program ini dilaksanakan sepanjang tahun 2023 di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pahang secara giliran sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap rakyatnya. – PAHANGMEDIA