Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 15 FEBRUARI 2023 : “Memang tak sangka dapat rumah percuma, Tuanku memang sangat prihatin terhadap rakyat,” itu luah Encik Mohd Khairi, penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Tanjung Pulai di sini.
Encik Mohd Khairi Othman, 47, yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat rumah kurniaan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyifatkan ia merupakan rezeki terbesar.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuanku kerana telah bagi saya sebuah rumah (YASA). Saya memang tak sangka (akan dapat rumah ini), (ini bukti) keprihatinan Tuanku kepada rakyat.
“Mungkin Tuanku tengok saya macam ini (OKU), baginda tersentuh hati kerana Tuanku memang sangat sayang pada rakyat,” katanya yang membuka kedai runcit selain mencari ikan dan udang galah di sungai berhampiran.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda bertanyakan mengenai keadaan banjir yang dialaminya di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya sebelum menawarkan untuk membina rumah baharu kepadanya.
“Masa Tuanku bersembang dengan saya, Tuanku terus tanya, saya nak bagi awak rumah, awak nak tak? Saya terkejut juga sebab ingat sembang-sembang biasa sahaja.
“Tuanku tanya saya ada tanah tak, kalau ada saya nak bagi rumah, saya cakap saya ada tanah ini (tapak rumah YASA) yang arwah ayah. Saya rasa besarnya rezeki dapat bertemu sendiri dengan Tuanku dan dapat rumah ini,” katanya yang memiliki seorang anak lelaki berusia 12 tahun.
Rumah setingkat jenis bertiang dengan keluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, satu bilik air selain dilengkapi ruang makan dan perabot milik Encik Mohd Khairi dengan luas keseluruhan 78 meter persegi yang bernilai RM150,000 ini dibina dengan ciri mesra OKU selain turut menempatkan sebuah bilik serbaguna seluas 9 meter persegi yang akan dijadikan kedai untuk Encik Mohd Khairi berniaga. – PAHANGMEDIA