Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal (tengah) ketika lawatan tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu dan penyerahan menara dari pihak Theta yang menyediakan infrastruktur kepada pihak Digi di Kampung Chendra Chincin, Mukim Dong, Raub.

PROSES BINA INFRASTRUKTUR 46 MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU SELESAI JULAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 08 FEBRUARI 2023 : Pembinaan infrastruktur bagi keseluruhan 46 menara telekomunikasi baharu di seluruh negeri ini dijangka selesai pada Julai tahun ini.

Pengarah Projek Theta Telecoms Sdn. Bhd., Encik Azrul Hisham Abdul Malek berkata sehingga hari ini sebanyak 17 projek telah pun selesai dan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi.

“Theta telah di award sebanyak 221 tapak, di mana 46 tapak berada di Pahang. Dan kita akan selesaikan semua 46 site tersebut di dalam tahun ini juga.

“Kita dah hand over sebanyak 17 (projek) sehingga tarikh hari ini termasuk tapak ini (di Kampung Chendera Chincin) dan kita jangka dapat selesaikan kesemua 46 site tersebut selewat-lewatnya Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan projek pembinaan menara telekomunikasi baharu di Kampung Chendera Chincin di sini yang telah selesai proses pembinaan infrastruktur kepada pihak Celcom-Digi.

Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal.

Menurut beliau lagi, pembinaan menara baharu ini adalah bagi meluaskan liputan jaringan telekomunikasi di kawasan-kawasan pedalaman terutamanya kawasan yang tidak mempunyai liputan.

“Pembinaan ini adalah untuk memenuhi kawasan-kawasan yang tiada coverage selain untuk menguatkan daripada segi bandwidth (kapasiti perpindahan data) di mana spesifikasi MCMC adalah 35 megabits per second (Mbps) dan ini merupakan target dari MCMC.

“Semakin tinggi kadar bandwidth, ia akan memberi manfaat yang lebih kepada penduduk dan juga keluarga yang pulang ketika musim perayaan,” katanya.

Haji Roslan Rosli Ketua Hal Ehwal Kerajaan Celcom-Digi

Sementara itu, menurut Ketua Hal Ehwal Kerajaan Celcom-Digi, Tuan Haji Roslan Rosli berkata sebanyak 30 projek telah diserahkan kepada pihaknya bagi tujuan penyediaan servis liputan.

“Bagi projek JENDELA (Pelan Jalinan Digital Negara) di Pahang, Celcom-Digi telah award 152 daripada 191 dengan status sekarang ini sebanyak 30 projek telah diserahkan kepada kita daripada Part 1 yang membina infrastruktur.

“Dan kami di Part 2 sebagai penyedia servis diberi tempoh sembilan bulan untuk selesai. Tetapi dengan usaha dan kerjasama erat kami nak buat yang terbaik dan tempoh sembilan bulan tersebut mungkin dapat dikurangkan lagi mugkin sehingga tujuh bulan sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram