Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal (tengah) ketika lawatan tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu dan penyerahan menara dari pihak Theta yang menyediakan infrastruktur kepada pihak Digi di Kampung Chendra Chincin, Mukim Dong, Raub.

191 PROJEK MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU AKAN DIPANTAU SECARA DEKAT

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 08 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Negeri akan memantau secara dekat semua 191 projek pembinaan menara telekomunikasi baharu di negeri ini bagi memastikan ia dapat selesai sepertimana ditetapkan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini bagi memastikan manfaat pembinaan menara ini dapat sampai kepada rakyat dengan segera.

“Saya bagi komitmen kepada pihak telco termasuk Celcom dan Digi untuk saya pantau secara dekat satu per satu, setiap projek menara telekomunikasi ini di seluruh Pahang.

“Ini khususnya 191 menara baharu yang dibina di bawah JENDELA di Pahang ini supaya ia berjalan lancar walaupun mengalami sedikit kelewatan. Bila usaha sebegini dilaksanakan dengan betul dan cepat, ia dapat memberi manfaat kepada rakyat, yang mana ia menjadi fokus saya,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal.

Beliau berkata demikian pada lawatan tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu dan penyerahan menara dari pihak Theta yang menyediakan infrastruktur kepada pihak Digi di Kampung Chendra Chincin, Mukim Dong, Raub.

Menurut beliau lagi, pembinaan menara ini dilihat dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan sekiranya semua pihak memberikan kerjasama.

“Dalam hal ini saya minta sangat pihak berkepentingan seperti Koridor Utiliti Pahang (KUP), Pahang Corporation, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Hutan, dan mana-mana yang berkaitan untuk bagi tumpuan khusus.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, kita mahu cara kerja yang luar biasa kerana kita ada mengalami sedikit kelewatan dan kita kena kejar (tempoh siap). Kita juga kena bekerja secara berpasukan kerana matlamat akhir kita adalah untuk beri keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah supaya bekerjasama secara rapat dengan pihak KUP dan Pahang Corp bagi mengelakkan berlakunya isu dalam pembinaan menara telekomunikasi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram