Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 4 FEBRUARI 2023 : Pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RPP) bertiang di Kampung Serambi, Pekan adalah pertama kali dibina sedemikian kerana lokasi rumah tersebut berisiko banjir setiap tahun meskipun Kerajaan Pahang berhadapan peningkatan kos pembinaan sehingga RM100,000.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan sememangnya prihatin kerana bukan sekadar memberikan bantuan rumah percuma malah turut disesuaikan dengan lokasi sama ada sesuatu kawasan itu mudah dinaiki banjir.
“Bagaimanapun seboleh-bolehnya bagi mengelakkan kos yang tinggi, kerajaan tidak menggalakkan pembinaan rumah bertiang ini dengan banyak, ini juga mengikut kemampuan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Serambi, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan (Pembangunan), Puan Nursafariza Ihsan dan Penghulu Mukim Pulau Manis, Encik Mohd Ismail Zulkafly.
Sementara itu, penerima RRP Kampung Serambi, Encik Mahidin Othman, 66, berkata, rumah lama yang diduduki melebihi 30 tahun semakin uzur saban tahun kerana ditenggelami air banjir kerana lokasi rumahnya bersebelahan Sungai Pahang.
Jelasnya, beliau bersama isteri, Puan Che Ton Awang, 63, tinggal di rumah itu berdua memandangkan kelapan-lapan anak mereka sudah berhijrah dan berkeluarga.
Justeru, keadaan tersebut sangat berisiko buat mereka berdua apabila tiba musim tengkujuh ketika Monsun Timur Laut (MTL).
“Saya merasakan projek seumpama ini patut diteruskan kerana di luar sana masih ramai yang belum memiliki rumah”, katanya.
Bagi Puan Che Ton pula, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismai kerana mewujudkan Program RRP yang sangat bermanfaat buat semua rakyat Pahang yang memerlukan rumah yang selesa dan selamat.
“Makcik ucap terima kasihlah kepada penaja rumah ini Rumah Rakyat Pahang ini, makcik ucap terima kasihlah banyak-banyak, hanya Allah yang membalasnya”, katanya. – PAHANGMEDIA