Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato' Wan Salman Wan Ismail ketika penyerahan 1,000 pek Juadah Makmur kepada warga IPK Pahang hari ini.

WARGA IPK PAHANG SYUKUR TERIMA 1,000 PEK JUADAH MAKMUR

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 3 FEBRUARI 2023 : Warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersyukur selepas menerima 1,000 pek Juadah Makmur daripada Kerajaan Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang, YH. Dato’ Yusri Othman berkata, pihaknya sangat berbesar hati dan mengalu-alukan program seumpama itu serta wajar dicontohi oleh semua pihak.

“Saya mewakili Yang Dihormati Ketua Polis Pahang, dan seluruh warga IPK Pahang mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang terutamanya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang telah sudi memberikan sumbangan berupa Juadah Makmur kepada kami di IPK Pahang ini.

“Sesungguhnya ini adalah satu usaha yang sangat murni yang patut dicontohi oleh orang lain dan saya rasa program ini sangat baik dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan 1,000 pek Juadah Makmur oleh Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail kepada IPK Pahang di sini hari ini.

Program Juadah Makmur anjuran Kerajaan Negeri ini merupakan cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan telah pun dilaksanakan di seluruh negeri.

Program ini dilaksanakan sepanjang tahun 2023 di semua kawasan Dewan Negeri di seluruh Pahang secara giliran sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap rakyatnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram