Pengerusi Pahang Go Sdn. Bhd. yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika Majlis Makan Malam Apresiasi Media yang diadakan di Hotel Hyatt Regency, di sini semalam.

PAHANG GO RANCANG WUJUDKAN E-WALLET

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 31 JANUARI 2023 : Pahang Go sedang merancang mewujudkan e-wallet khususnya untuk rakyat Pahang.

Pengerusi Pahang Go Sdn. Bhd. yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perancangan tersebut masih awal malah nama bagi e-wallet tersebut belum lagi diputuskan.

“InsyaAllah, Pahang Go sedang berusaha mewujudkan e-wallet Pahang di seluruh negeri ini yang masih belum dinamakan lagi dan saya meminta agar satu peraduan diadakan di kalangan pengguna Pahang Go ini untuk menentukan apakah nama yang paling sesuai sekali untuk e-wallet ini.

“Ini akan menjadi salah satu produk kebanggan Negeri Pahang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Apresiasi Media yang diadakan di Hotel Hyatt Regency, di sini semalam.

Pengerusi Pahang Go Sdn. Bhd. yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Hadir sama, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, YBhg Encik Affandi Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif PahangCorp, YBhg Encik Mohd Khusaini Harumaini dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Pahang, YBhg Encik Faisal Md Nor.

Majlis makan malam itu diadakan sebagai menghargai serta menjalin hubungan yang baik bersama pihak media dan influencer.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang Go juga berhasrat meluaskan penggunaan parkir digital menerusi aplikasi PahangGo ke seluruh Pahang dengan membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya, pihak kerajaan berusaha memupuk pembudayaan ‘cashless’ di dalam kehidupan rakyat Pahang terutamanya pengguna aplikasi PahangGo sendiri.

PahangGo merupakan aplikasi yang dapat membantu Kerajaan Negeri nenerusi teknologi digital apabila menjadi aplikasi mobil pertama yang mempunyai fungsi yang menggabungkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), institusi keagamaan dengan kemudahan pembayaran zakat dan sebagainya, institusi pengajian tinggi (IPT) dan maklumat berita di Pahang.

Sehingga kini, PahangGo mempunyai seramai 200,000 pengguna aktif bulanan dengan transaksi sebanyak RM1.5 juta sebulan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram