Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 29 JANUARI 2023 : Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membasmi penularan masalah sosial yang semakin membimbangkan melalui perhatian dan pemantauan kepada anak-anak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bertitah ini termasuklah pemantauan penggunaan media sosial.

“Isu-isu seperti penggunaan internet dan laman sosial Facebook, Twitter, Instagram, perlulah diberi perhatian dan dipantau oleh ibu bapa dan juga cikgu.
“Perlu mengenalpasti rakan terdekat anak-anak mereka agar pergerakan mereka dapat dikawal. Perhatian dan kasih sayang perlu diberi kepada anak-anak mereka supaya mereka tidak rasa tersisih dan membawa haluan sendiri tanpa bimbingan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Aspresiasi Pendidikan ke-18 Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah (SKTA) di Kuantan, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed; Menteri Pendidikan, YB. Puan Fadhlina Sidek; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Kebajikan Masyarakat. Pembangunan Wanita & Keluarga, YB Dato’ Sabariah binti Saidan; Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut berkongsi sekiranya anak-anak mempunyai tidur yang mencukupi, maka mereka kekal segar dan dapat memberikan tumpuan ketika belajar.
“Saya begitu tegas dengan anak-anak saya dimana mereka mesti tidur pukul 8 malam, bukan pukul 10, 11, 12 malam kerana dengan cukup tidur, anak-anak esok masuk kelas pagi, kepala dia segar dan sihat.
“Kerana dengan cukup tidur, otak dia segar, dia boleh beri tumpuan lebih di dalam kelas. Saya harap ibu-ibu semua, pukul 8 malam (suruh anak tidur), tak percaya cakap saya, esok pukul 6 pagi anak dah bangun sendiri dan otak dia akan segar satu hari kerana tidur yang cukup, otak pun pandai,” titah baginda.
Baginda kemudiannya, turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 121 murid tahun satu hingga tahun enam serta 10 tokoh murid di SKTA sebelum berkenan mencemar duli melawat Pameran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan kokurikulum yang diadakan. – PAHANGMEDIA