Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 27 JANUARI 2023 : Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Negeri Pahang sepakat menubuhkan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang bagi mengukuhkan kerjasama yang terjalin.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Majlis berkenaan dipengerusikan secara bersama oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Pakatan Harapan Pahang.
Kedua-dua pihak telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini dengan keterlibatan kedua-dua parti.
Menurut kenyataan sama, Majlis berkenaan akan menjadi platform perbincangan dan rundingan dasar ke arah menyelesaikan isu rakyat agar dapat menjamin keutuhan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang untuk sepenuh penggal.
Selain itu, kedua-dua parti ini juga turut bersetuju untuk mengadakan pertemuan secara berkala bagi membincangkan gerak kerja secara bersama agar ia selari dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurut kenyataan itu lagi, semangat musyawarah ini diharapkan dapat mengetepikan perbezaan politik dan memfokuskan segala usaha demi kebaikan rakyat Negeri Pahang Darul Makmur. -PAHANGMEDIA