YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Lipis kepada penerima di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Negeri Jelai, Sungai Koyan.

RM5 JUTA ATASI MASALAH BANJIR KILAT DI KAMPUNG LUBUK KULIT DAN KAMPUNG BELETIK

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 21 JANUARI 2023 : Nasib lebih seribu orang penduduk di Kampung Lubuk Kulit dan Kampung Beletik yang sering dilanda banjir kilat mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri melalui projek kolam takungan bernilai RM5 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ‘kesengsaraan’ penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa menghadapi banjir kilat sehingga lima ke enam kali setahun perlu diberi penyelesaian segera.

“Saya telah beritahu kepada mereka peruntukan RM5 juta telah diluluskan bagi kerja-kerja awalan. Bila kita dah kenal punca, kita perlu ambil tindakan sewajarnya.

“Saya minta pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) mencari punca dan mereka maklum bahawa apabila hujan lebat, air hujan itu akan terus turun ke sungai tanpa sebarang penahan (tebatan). Jadi saya cadangkan mereka buat kolam takungan bagi memastikan air tidak terus membanjiri rumah-rumah penduduk dan mereka tidak terus mengalami kerugian akibat banjir kilat yang kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Lipis.

Beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.

Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau berpuas hati dengan penyertaan pengarah-pengarah daripada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini yang turut sama dalam lawatan kerja dan penyampaian sumbangan yang diadakan.

“Mereka boleh dengar sendiri masalah serta kekangan yang dihadapi, malah saya boleh berbincang terus untuk mencapai kata sepakat dan penyelesaian segera bagi setiap isu dan permasalahan rakyat.

“Jadi semuanya dapat diselesaikan segera dan saya juga gembira dapat menyelesaikan banyak perkara yang berbangkit dengan cepat dan berkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram