YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan lawatan kerja di tapak PGBF serta tapak Skim Tanah Warisan (STW) di Kampung Kuala Medang.

PERUMAHAN GENERASI BAHARU FELDA (PGBF) SUNGAI KOYAN BAKAL SIAP SEPENUHNYA PADA OKTOBER

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 21 JANUARI 2023 : Pembeli rumah di dua buah tapak Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) Sungai Koyan boleh menarik nafas lega apabila projek berkenaan bakal siap sepenuhnya dan boleh diduduki pada bulan Oktober tahun ini.

Perkara itu diumumkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas menerima taklimat dan jaminan daripada pihak Felda dan kontraktor terlibat.

“Hari ini kita telah mendengar taklimat daripada Felda mengenai perkembangan semasa projek rumah ini yang sebelum ini terbengkalai sejak lebih sepuluh tahun.

“InsyaAllah mereka telah beri jaminan bahawa 88 buah unit rumah di tapak 1A dan 128 buah unit di tapak 2 akan siap bulan Ogos dan boleh diduduki pada bulan Oktober nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja di tapak PGBF serta tapak Skim Tanah Warisan (STW) di Kampung Kuala Medang, hari ini.

Beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengarah Felda Wilayah Mempaga, Encik Saidi Salleh serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram