YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika lawatan kerja di tapak Projek Off River Storage (ORS) Kuala Medang, di Lipis.

PROJEK KOLAM TAKUNGAN HILIRAN (ORS) SIAP BULAN JULAI TAHUN INI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 21 JANUARI 2023 : Kolam Takungan Hiliran (Off River Storage – ORS) yang dibina di atas tanah seluas lima ekar di Kuala Medang dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek pembinaan yang menelan peruntukan hampir RM11 juta daripada Kerajaan Negeri ini bermula pada 1 Disember 2021 dan jangkaan awal siap adalah pada November tahun lalu.

“Saya difahamkan bahawa projek ini memerlukan tempoh masa tambahan (extension of time) ekoran mengalami beberapa kekangan seperti masalah keadaan tanah yang lembik akibat hujan sekaligus menyukarkan pergerakan jentera selain masalah batu di sebahagian kolam yang memperlahankan kerja-kerja mendalamkan kolam.

“Pihak JPS telah memberi penerangan kepada saya dan InsyaAllah ia akan dapat disiapkan pada bulan Julai nanti, sekaligus bekalan air bersih dapat dimanfaat oleh oleh kira-kira 3,000 penduduk di beberapa kampung termasuklah Kampung Kuala Medang, FELDA Koyan 1, 2 dan 3, Tanjung Gahai, Agropolitan Gahai dan Kampung Dusun Pak Senam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja di tapak Projek Off River Storage (ORS) Kuala Medang, di Lipis, hari ini.

Beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, Puan Ir. Roslina Yusop; Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Projek ORS ini merupakan pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memastikan bekalan air bersih dapat disediakan bagi manfaat penduduk setempat selain dapat menampung pertambahan jumlah penduduk dan perkembangan industri serta dapat juga digunakan untuk aktiviti rekreasi dan sukan air kelak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram